KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk M.Nasir meluahkan rasa terkilan apabila seniman Allahyarham Pyanhabib tidak dapat menyaksikan konsert terbaharunya, Dato’ M.N45ir Cipta yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.
Kata M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, 66, ada segmen khusus didedikasikan buat rakan karibnya itu dalam konsert tersebut.
Malah, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu turut memaklumkan Pyanhabib terlibat dalam merealisasikan konsert tersebut namun enggan memperincikan perkara terbabit.
“Saya rasa kehilangan dan terkilan apabila Allahyarham tidak dapat turut serta dalam konsert nanti.
“Perancangan asal, beliau sepatutnya ada malah ada bahagiannya dalam konsert itu,” katanya.
Sebagai rekod, M. Nasir pernah bergandingan dengan arwah dalam filem Kembara Seniman yang diterbitkan pada 1986.
Terbaharu, Allahyarham muncul dalam filem pendek sempena mempromosikan konsert Dato’ M.N45ir Cipta.
Allahyarham Pyanhabib menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat, pukul 9.30 malam tadi. – KOSMO! ONLINE