KUALA NERUS – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersedia menghantar pasukan pengaman ke negara bergolak sekiranya diperlukan.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, berkata, anggota tentera negara memiliki berkemampuan untuk bertugas di wilayah yang sedang mengalami konflik.
Beliau berkata, pembabitan TDM sebagai pasukan pengaman akan menaikkan imej negara di persada dunia.
“Kita pernah ke Bosnia dan sekarang ramai anggota kita berada di Lubnan. Saya cukup yakin anggota tentera negara berupaya melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan.
“Penglibatan tentera Malaysia bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah berjaya melonjakkan imej dan nama negara di mata dunia,” katanya di Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini hari ini.
Terdahu beliau menutup Eksesais Tiger Strike membabitkan pasukan 10 Briged (Para) dan 15th Marine Expeditionary Unit (MEU) Tentera Marin Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan sama, Tengku Muhammad Fauzi berkata, Eksesais Tiger Strike merupakan latihan ketenteraan bagi meningkatkan keupayaan operasi dan kemahiran tempur selain simbolik hubungan bileteral antara negara ini dan Amerika Syarikat.
Jelas beliau, latihan ketenteraan berkenaan membabitkan penggunaan aset ketenteraan canggih seperti helikopter CH-53 USMC, kapal pendarat amfibia LCAC dan kapal tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – KOSMO! ONLINE