GEORGE TOWN – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan dua lelaki tempatan dipercayai menggunakan senjata parang dan kayu di Jelutong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya telah terkesan dengan satu video berdurasi 1 minit 16 saat yang tular di WhatsApp menunjukkan kejadian pergaduhan melibatkan dua individu pada pukul 11 malam semalam.
“Hasil semakan mendapati, kejadian berlaku pada Isnin lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi di Jelutong melibatkan dua lelaki tempatan akibat perselisihan faham dan tidak berpuas hati antara satu sama lain,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular mengenai pergaduhan melibatkan dua lelaki dengan senjata dipercayai parang di kawasan Jelutong.
Menurut beliau, kedua-dua pihak yang terlibat telah membuat laporan polis pada hari yang sama. – KOSMO! ONLINE