KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sifar kes kematian akibat denggi menjelang 2030, sejajar dengan komitmennya dalam Pelan Strategik Pencegahan dan Kawalan Denggi Kebangsaan (2022-2026).
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, strategi KKM adalah jelas iaitu untuk menyatukan campur tangan yang berkesan dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
Katanya, perancangan KKM adalah berdasarkan pada tiga elemen teras iaitu mengoptimumkan sistem pengawasan denggi, memastikan akses kepada diagnostik denggi, rawatan dan inisiatif kawalan kualiti dan penyatuan usaha ke arah pencegahan dan kawalan denggi.
“Di samping itu, kami juga komited untuk memperhalusi dua elemen sokongan iaitu memperkukuh faktor pemangkin untuk meningkatkan sistem kesihatan dan mengukuhkan penyelidikan dan inovasi berkaitan denggi.
“KKM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes dan mengehadkan penularannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7 di sini hari ini.
Lukanisman berkata, itu termasuk aktiviti pengurangan sumber pembiakan, penghapusan jentik-jentik, semburan ruang (space spray), semburan residu (Outdoor Residual Spray, ORS) disasarkan serta promosi kesihatan dan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha inovatif telah dilakukan oleh KKM untuk memerangi penularan denggi melalui Operasi Nyamuk Wolbachia (WMO) yang bermula pada 2019.
“Sehingga kini, sebanyak 35 lokaliti telah melaksanakan WMO di seluruh negara. Selepas empat tahun pelaksanaan, WMO telah berjaya mengurangkan bilangan kes denggi antara 45 peratus dan 100 peratus di 19 lokaliti.
“Selain itu, negara telah mencapai penurunan ketara dalam kadar kematian kes denggi (CFR) daripada 0.63 peratus pada tahun 2000 kepada 0.08 peratus pada tahun 2023 dengan usaha yang rapi dan berterusan di pelbagai peringkat melibatkan pihak berkepentingan negara, negeri dan daerah,” ujarnya.
Katanya, dalam usaha berterusan itu KKM turut melancarkan melancarkan portal iDengue di mana maklumat terkini mingguan mengenai kes denggi, kematian dan kawasan hotspot dapat diakses.
Sementara itu, Pengerusi Asia Dengue Voice & Action (ADVA), Profesor Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, Sidang Kemuncak Denggi Asia yang berlangsung sehingga Jumaat ini disertai hampir 500 pakar denggi terkemuka dari 20 negara yang terdiri daripada golongan doktor, ahli akademik, penyelidik, pakar kesihatan awam dan penggubal dasar.
“Sidang ini menawarkan satu platform strategik untuk memberi penggubal dasar ruang bagi membina rangkaian dan belajar mengenai strategi yang berjaya dilaksanakan di negara lain bagi memenuhi matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Kemajuan dari segi kawalan vektor, kaedah pemodelan, dan vaksin denggi boleh membantu dalam pembentukan pendekatan baru untuk mencapai objektif kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE