fbpx

RM2.05 bilion diperlukan selesai masalah banjir Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir yang melanda kawasan Rantau Panjang pada Disember lalu.

KOTA BHARU – Kos sebanyak RM2.05 bilion melibatkan pelaksanaan projek secara berfasa melangkaui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) diperlukan untuk penyelesaian secara menyeluruh masalah banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata projek berkenaan melibatkan tiga fasa pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok merangkumi daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli itu mampu melindungi 215 kilometer persegi kawasan yang terlibat.

“Fasa 1 melibatkan kawasan hilir PLSB Sungai Golok iaitu Tumpat dan Pasir Mas, Fasa 2 pula kawasan tengah (Pasir Mas dan Tanah Merah) manakala Fasa 3 di kawasan hulu (Tanah Merah dan Jeli),” katanya ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (Pas-Gual Periok) pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izani memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Pelan Tindakan Jangka Panjang melibat komponen berskala besar yang akan menghasilkan impak menyeluruh dalam mengatasi masalah banjir di Kelantan.

Katanya, pelan berkenaan dipecahkan kepada dua lembangan sungai utama iaitu PLSB Sungai Kelantan Fasa 1 dengan kos kontrak RM480 juta, Fasa 2 (kos kontrak RM857.5 juta) dan fasa 3 (kos kontrak RM7.5 bilion.

“Kos PLSB Sungai Kelantan Fasa 3 melibatkan pembinaan Empangan Lebir bernilai RM3.5 bilion dan Empangan Nenggiri pula RM4 bilion selain kerja-kerja pembaikan sistem perparitan di Kota Bharu, Pasir Mas termasuk Tanah Merah. Ia turut membabitkan pembinaan kolam takungan kering dan pembinaan empangan kelodak.

“PLSB Sungai Golok Fasa 1 sedang dilaksanakan dengan kos kontrak RM656 juta melibatkan skop pembinaan tiga ban banjir di Sungai Golok sejauh 26.2 kilometer, Sungai Alor Mengkuang (3.1 kilometer) dan Sungai Mentua (8.1 kilometer),” katanya.

Tambahnya, PLSB Sungai Golok Fasa 1 turut melibatkan kerja-kerja naik taraf ban kanan sejauh 19.839 kilometer di sepanjang Sungai Lemal hingga Lanchang dan menaik taraf pintu air di Kuala Jambu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI