KAMPAR – Seorang penunggang motosikal lelaki berumur 40-an maut tertimbus di bawah timbunan tar dalam nahas melibatkan sebuah motosikal dan lori yang membawa muatan tar di Jalan Tanjung Tualang di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.02 malam tadi.
“Lori membawa muatan tar terbalik hingga menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave tertimbus di bawah timbunan tar.
“Peralatan khas perlu digunakan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di lori tersebut. Mangsa disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Hanapiah Ismail bertugas sebagai Penghulu Mukim Teja dalam daerah Kampar. – KOSMO! ONLINE