fbpx

Pemandu e-hailing tular hina Islam, Malaysia disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

PETALING JAYA – Polis menyiasat tindakan seorang pemandu e-hailing mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Malaysia kepada pelancong asing, menerusi video tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang melihat video tersebut di aplikasi TikTok semasa berada di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru, semalam.

Katanya, lelaki itu mendakwa video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok ‘Samisma_News & AATV Rakyat News’ memaparkan seorang pemandu e-hailing didakwa menghina agama Islam serta memburukkan Malaysia kerana tidak berpuas hati kerana negara ini mengharamkan arak dan bermain judi.

“Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik kira-kira pukul 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.

“Semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun dan mengenalpasti pemandu e-hailing,” katanya ketika dihubungi.

Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, tular sebuah video memaparkan perbualan antara pelancong warga asing dan pemandu e-hailing.

Menerusi video berkenaan, pemandu e-hailing tersebut telah menghina Islam ketika berbual dengan pelancong terbabit.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI