PETALING JAYA – Kisah berkenaan Nabi Muhamad S.A.W pernah melamar seorang wanita Ummu Hani’ tetapi ditolak adalah benar, namun hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah.
Menurut tulisan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, lamaran tersebut dibuat baginda sewaktu Ummu Hani’ baru memeluk Islam sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.
“Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.
“Seterusnya, menyatakan cinta pertama Nabi S.A.W iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar,” jelas tulisan Status Hadis Riwayat Cinta Pertama Rasulullah SAW di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.
Jelas tulisan itu, kenyataan berkenaan Ummu Hani’ sebagai cinta pertama Nabi Muhammad S.A.W turut diragui dan mesti diambil perhatian agar tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda S.A.W.
“Oleh itu, ia mestilah didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan seseorang.
“Meskipun begitu, sekadar carian kami, tidak dijumpai mana-mana ayat al-Quran, riwayat hadis ataupun athar para sahabat yang menyebut apatah lagi menceritakan berkenaan cinta pertama Nabi S.A.W ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai juga dinasihati agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara berkait Nabi Muhammad S.A.W supaya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan Baginda S.A.W. – KOSMO! ONLINE.