KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kolumnis, Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem ‘apartheid’ telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, keterangan Andrew Sia juga telah diambil oleh pihaknya.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat AGC pada 4 Jun (semalam). Kita masih menunggu arahan lanjut berkaitan kes itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
24 Mei lalu, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Andrew Sia berkaitan penulisannya dalam sebuan portal mendakwa UiTM mengamalkan sistem ‘apartheid’.
Ia susulan laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik berusia 37 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Lelaki terbabit menyedari artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang dimuat naik di sebuah portal ketika berada di sebuah hotel.
Individu bernama Andrew Sia memberi komen berkenaan protes oleh pelajar Bumiputera ke atas beberapa pelajar bukan Bumiputera yang diterima masuk bagi jurusan cardiothoracic surgery di UiTM.
Semakan mendapati artikel itu dimuat naik pada 22 Mei lalu di laman portal berkenaan. – KOSMO! ONLINE.