fbpx

Keluarga murid didenda berdiri tengah panas mahu IO ditukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mogana (kiri) bersama suaminya menunjukkan lokasi anak mereka yang berusia 11 tahun didenda berdiri di tengah panas di sebuah sekolah dekat Ampang

KUALA LUMPUR – Ibu bapa kepada murid darjah lima yang didenda berdiri di tengah panas selama hampir tiga jam meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menukar pegawai penyiasat (IO) bagi mengendalikan kes tersebut.

Pengerusi Malaysia Indian Action Force (Miaforce), Dayalan Sreebalan mendakwa, siasatan kes itu dijalankan tidak berdasarkan kepada laporan asal, sebaliknya dialihkan kepada isu sekiranya kanak-kanak berusia 11 tahun itu merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Menurut jurucakap keluarga itu, laporan pertama yang dibuat pada 30 April lalu jelas menyatakan bahawa kanak-kanak itu mengalami kelesuan haba akibat kejadian berkenaan dan tidak menyatakan apa-apa mengenai OKU.

“Beberapa hari lepas, ibu mangsa, Mogana Selvi diminta memberi keterangan bukan berasaskan laporan pertama. Polis kini mengalihkan siasatan kepada OKU. Mereka nak tahu siapa yang memberitahu murid itu OKU.

“Maklumat dari sumber saya, polis telah mengumpul data mangsa dari darjah satu hingga darjah lima dan saya difahamkan, mereka mengatakan kanak-kanak itu sudah menjadi OKU sejak darjah satu.

“Kalau betul OKU dari mula, sekolah boleh kesan sebab ada kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan PDRM menjalankan siasatan terhadap seorang guru yang didakwa mendenda beberapa pelajar berdiri di kawasan padang sebuah sekolah.

Ekoran kejadian itu, kanak-kanak tersebut dipercayai pengsan dan pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kelesuan haba dimana suhu badannya mencecah 40 Celcius.

Dalam pada itu, Dayalan mendakwa, tindakan menukar doktor yang merawat mangsa turut menimbulkan keraguan apabila pengesahan OKU kanak-kanak itu hanya boleh dikeluarkan dalam tempoh dua bulan kerana dibawah kes polis.

“Doktor kata berkemungkinan kanak-kanak ini adalah OKU dengan alasan mangsa lemah dalam pelajaran. Apa yang dimaksudkan oleh doktor? Takkan kerana lemah Bahasa Melayu dikira OKU.

“Selain itu, doktor juga tanya ibu mangsa jika dia ada tolong anaknya membuat kerja sekolah di rumah. Kami tak faham, mangsa ada rekod disiplin yang baik dan tidak pernah mempunyai masalah di sekolah,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dayalan berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum aduan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes terbabit.

“Kita juga ingin minta pegawai penyiasat baharu bertaraf inspektor yang lebih berpengalaman untuk menjalankan siasatan dan akan menghantar memorandum kepada Bukit Aman esok,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI