fbpx

Kebakaran cetus ancaman perang Israel-Hizbollah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
API marak akibat kebakaran hutan dirakam di utara Israel berdekatan dengan sempadan Lebanon kelmarin. - AFP

TEL AVIV – Menteri Keselamatan berhaluan kanan Israel, Itamar Ben-Gvir mengeluarkan amaran perang ke atas Lebanon selepas ketengangan memuncak di sempadan yang menyaksikan peningkatan serangan daripada kumpulan Hizbollah, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Menurut Ben-Gvir, ia adalah sebagai tindak balas terhadap siri serangan roket kumpulan pejuang itu sehingga mengakibatkan kebakaran hutan dan belukar di utara Israel.

“Tidak akan ada keamanan di Lebanon ketika kami menjadi sasaran,” katanya semasa melawat anggota bomba dekat Kiryat Shmona, yang bertungkus-lumus memadam kebakaran belukar dan hutan.

Hutan di utara Israel musnah akibat kebakaran selama beberapa hari yang disebabkan oleh serangan roket Hizbollah, di mana 11 orang dimasukkan ke hospital kerana terhidu asap.

Dalam pada itu, Ketua Staf Tentera Israel, Herzl Halevi yang turut melawat wilayah yang terbakar itu berkata, situasi mencapai kemuncak di mana keputusan mengenai serangan Hizbollah perlu dibuat.

Katanya, tentera Rejim Zionis bersedia untuk melakukan serangan ke atas Lebanon.

Hizbollah berkata pada kelmarin bahawa ia melancarkan siri serangan dron di markas tentera Israel di Galilee, menyebabkan kebakaran di bangunan itu. 

Menurutnya, ia adalah tindak balas kepada serangan Rejim Zionis ke atas tentera Hizbollah serta rumah di selatan Lebanon, sambil menambah bahawa tiga pejuang pasukan itu terbunuh kelmarin.

Kebakaran besar tersebut mengakibatkan tompok tanah hangus mula kelihatan dari sempadan Lebanon, manakala kepulan asap kelabu menyelubungi laluan yang merentasi bukit di utara Israel.

Penduduk tempatan di komuniti utara yang sebahagian besarnya terpencil, bergelut memadamkan kebakaran itu selama beberapa minggu, manakala seorang anggota pertahanan awam berkata, terdapat 15 hingga 16 kebakaran berlaku di kawasan berkenaan. 

Suhu tinggi sejak beberapa hari lalu memarakkan lagi kebakaran hutan sehingga menyebabkan bomba mengambil masa selama 20 jam untuk memadamkan kebakaran di sekitar bandar Kiryat Shmona kelmarin.

Menurut pentadbir hutan, kebakaran tersebut setakat ini telah memusnahkan tanah seluas 1,416 hektar. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI