JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggantikan ketua ibu kota baharu Indonesia, Nusantara dalam satu rombakan mengejut hanya beberapa minggu sebelum projek kontroversi bernilai AS$32 bilion (RM150 bilion) itu dibuka secara rasmi.
Ibu kota ekonomi terbesar Asia Tenggara itu akan berpindah secara rasmi pada Ogos ini, dari kota Jakarta yang sesak dan sedang tenggelam.
Projek legasi oleh Jokowi itu dibelenggu oleh isu-isu seperti kekurangan pelaburan asing, pemilikan tanah dan kelewatan.
“Presiden Jokowi telah melakukan perubahan kepimpinan,” tulis pegawai yang akan digantikan tersebut, Bambang Susantono, di laman Instagram lewat semalam.
“Izinkan saya memohon maaf atas sebarang kesilapan dan kekurangan dalam tugas saya,” tambah bekas pegawai Bank Pembangunan Asia itu.
Pemerintah Indonesia berkata, Bambang meletak jawatan tanpa penjelasan, dan beliau akan digantikan oleh Menteri Kerja Raya dan Perumahan, Basuki Hadimuljono.
Bandar raya baharu itu dijadual mula beroperasi sebagai pusat politik baharu Jakarta pada 17 Ogos iaitu hari kemerdekaan Indonesia.
Negara itu menyasarkan untuk mempunyai 1.9 juta penduduk yang tinggal di Nusantara menjelang 2045 sekali gus memindahkan gelombang aktiviti manusia dan perindustrian ke tengah-tengah Borneo.
Beribu-ribu penjawat awam dijangka berpindah ke kota raya itu pada September ini untuk memulakan kerja, namun rancangan Jakarta telah ditangguhkan beberapa bulan kerana proses pembinaan yang perlahan. – AFP