PETALING JAYA – Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Petaling Jaya ‘mengambil’ wang seorang tahanan sebanyak RM20,000 baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada bapa suspek.
“Individu terbabit mendakwa wang anaknya diambil anggota polis ketika berada dalam tahanan.
“Susulan itu, polis membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk menyiasat dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa anaknya dipukul oleh anggota polis Petaling Jaya ketika berada dalam tahanan.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 17 Mei lalu.-KOSMO! ONLINE