fbpx

Anak Hamzah Zainudin didakwa terima rasuah RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faisal (tengah) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Anak bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000 dengan menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan tender daripada sebuah syarikat enam tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Faisal Hamzah, 40, yang juga perunding sebuah syarikat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Faisal didakwa telah secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya, iaitu wang tunai sebanyak RM100,000 daripada seorang individu.

Ia sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan Syarikat Per My Solutions sebagai Konsultan Pemasaran disebabkan pengaruh tertuduh yang dimiliki.

Seterusnya syarikat-syarikat itu dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu Berhad dianugerahkan Tender No. SSM 1/2017 “Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure” bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas di sini pada Mac 2018.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM di sini dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira latar belakang tertuduh pada kes ini, yang mana dia merupakan seorang anak bekas Menteri,” kata Mahadi.

Bagaimanapun, peguam, Ravinder Singh Dhalliwal yang mewakili Muhammad Faisal merayu agar anak guamnya, diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan, namun Muhammad Faisal perlu ke negara, untuk pembukaan sebuah asrama di Thailand,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan selain disenarai hitam ke luar negara.

Tarikh 5 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI