fbpx

Agong, Raja Permaisuri berkenan terima Darjah Kebesaran Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim berkenan terima Darjah Kebesaran Persekutuan dari Perdana Menteri di Istana Negara hari ini.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima Darjah Kebesaran Persekutuan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (DKM) dan Raja Zarith Sofiah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).

Darjah Kebesaran DKM dipersembahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Darjah Kebesaran DMN pula dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang ditabalkan menjadi Sultan dan Raja di negerinya serta orang-orang yang paling dihormati.

Dalam pada itu, Anwar menerusi laman sosial rasmi beliau berkata, menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas perkenan menerima Darjah Kebesaran Persekutuan hari ini di Istana Negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Awang Alik Jeman dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI