PETALING JAYA – Pasangan suami isteri yang tular selepas menimang cahaya mata pada usia lanjut menganggap pengalaman itu begitu luar biasa kerana sudah lama tidak menguruskan anak kecil.
Zaleha Zainul Abidin, 42, berkata, anak perempuan sulungnya yang berusia lima hari bersama suaminya, Yob Ahmad, 80, begitu mudah diuruskan dan tidak banyak meragam setakat ini.
“Cuma bayi kami akan menangis apabila lapar dan membuang sahaja. Pada sebelah malam suami yang selalu menjaga bayi.
“Sememangnya pengalaman baharu dan luar biasa sebab sudah lama kami tiada anak kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan Yob atau mesra disapa Pak Yob sedang mengiqamatkan zuriat pertama pada usianya sudah mencecah 80 tahun.
Video bayi perempuan Pak Yob yang selamat dilahirkan pada pukul 9.30 malam, 31 Mei lalu tular di media sosial sehingga meraih lebih 2.5 juta tontonan.
Zaleha yang menetap di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, dia dan suaminya berasa terkejut dan tidak menjangkakan dia hamil selepas 10 tahun bernikah.
Katanya, pada awal perkahwinan dia dan suaminya ada merancang untuk menimang cahaya mata, namun mengalami keguguran lima tahun lepas.
“Selepas keguguran, saya reda serta menganggap mungkin kami berdua tiada zuriat lagi disebabkan faktor usia.
“Tetapi bila mendapat tahu saya mengandung, kami sangat terkejut dan gembira kerana ia di luar jangkaan kami.
“Nasihat saya kepada pasangan di luar sana yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat, banyak dekatkan diri dengan Allah dan sentiasa bersangka baik dengan-Nya. Sebab Allah sebaik-baik perancang,” katanya.
Tambah Zaleha, ini merupakan perkahwinan kedua dia dan Pak Yob, yang mana perkahwinan pertama bersama bekas suami mereka dikurniakan tiga anak perempuan, manakala suaminya mempunyai empat anak bersama isteri terdahulu. – KOSMO! ONLINE