fbpx

[VIDEO] Penguasa Kastam tidak periksa lori kargo KLIA didakwa 90 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Emin (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk didakwa atas 90 pertuduhan menerima rasuah RM84,800.

KOTA BHARU – Seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 90 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM84,800 untuk tidak memeriksa lori barangan sebuah syarikat dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh enam tahun.

Tertuduh, Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan selama sejam oleh jurubahasa di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut 90 pertuduhan itu, Ahmad Emin didakwa menerima rasuah anggaran sebanyak RM50 hingga RM4,100 dengan jumlah keseluruhan RM84,800 daripada pemilik sebuah syarikat pengangkutan berusia 38 tahun.

Kesemua transaksi pemindahan wang itu dijalankan secara dalam talian ke akaun banknya sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Mahmood di sini bermula 20 Mei 2017 hingga 3 September 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Adhwa’ Afiqah Mohd. Azmi.

Terdahulu, Mohd. ‘Afif mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin memandangkan tertuduh berdepan kes serius iaitu 90 pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM84,800.

Adhwa’ Afiqah dalam rayuannya memohon ikat jamin sebanyak RM15,000 kerana jumlah tersebut sudah disediakan oleh ahli keluarga anak guamnya untuk membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Tertuduh ketika ini bertugas di Bahagian Cukai Dalam Negeri, JKDM di Kelana Jaya, Selangor selain mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak.

“Anak guam saya juga merupakan penanggung tunggal keluarga kerana isterinya tidak bekerja dan perlu menjaga ibunya yang sedang sakit. Keluarga anak guam saya ketika ini sudah mengumpul wang sebanyak RM15,000 untuk membayar ikat jamin,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin disertai dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan, mengakses komputer atau dokumen JKDM berkaitan kes yang dihadapinya dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI