KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain susulan terbabit insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada bulan lalu.
Surat penghargaan serta plak itu diterima Koperal Mohd Hasif Roslan, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh dan Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa menerusi pertemuan khas di Pejabat Ketua Polis Negara, hari ini.
Menurut Razarudin, ia bagi menghargai keberanian ketiga-tiga anggota itu apabila sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan awam.
“Sifat berani mereka wajar dicontohi warga pasukan yang lain dalam menjalankan tugas hakiki sebagai pegawai dan anggota polis di lapangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis ringkas itu turut dihadiri Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Inspektor Mohd Hisyam Ezahar.
17 Mei lalu, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota berpangkat konstabel maut akibat ditetak dengan parang selain ditembak.
Dalam kejadian itu, seorang lagi anggota berpangkat koperal cedera akibat terkena tembakan ketika cuba membantu rakan setugasnya.
Suspek yang berusia 21 turut ditembak mati di lokasi kejadian.
Tujuh individu termasuk lima sekeluarga suspek ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – KOSMO! ONLINE.