PETALING JAYA – Penyanyi Hafiz Suip meluahkan rasa terkilan dengan tindakan individu yang menyebarkan fitnah ke atas dirinya.
Haifz atau nama sebenarnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, berkata, mereka yang merupakan kenalan rapat lebih mengenali siapa dirinya yang sebenar.
“Assalamualaikum semua. Nak bagi tahu mereka ini sama dengan aku dari sekolah sampai sekarang.
“Mereka tetap tidak bersangka atau tuduh aku yang bukan-bukan sebab mereka kenal aku siapa.
“Jadi korang (kalian) apa yang cerita? Sempat ke nak minta maaf depan-depan nanti?” tulisnya di aplikasi TikTok.
Penyanyi lagu Kisah Cinta Kita itu turut berkongsikan gambar dirinya bersama beberapa individu yang dipercayai kenalan rapatnya.
Meninjau ke ruangan komen perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial meluahkan sokongan kepada Hafiz selain memintanya untuk kembali aktif sebagai penyanyi.
“Harap ada komposer yang terbaik boleh menghasilkan lagu untuk Hafiz. Mungkin lagu-lagu ketuhanan.
“Apa-apa pun kembali semula menyanyi kerana Hafiz mempunyai bakat besar.
“Saya mendoakan semoga Hafiz tenang dan kuat semangat untuk meneruskan semula kerjaya nyanyian,” tulis mereka menerusi ruangan komen.
Terdahulu, Hafiz menyahaktifkan akaun Instagram miliknya pada 16 Mei lalu.
Terdapat juga timbul spekulasi mengatakan rumah tangganya dengan isteri Nureffy Jesreel Abdullah bermasalah dan mendakwa dia sudah bercerai.
Malah dia juga menganggap dirinya sudah tidak relevan sebagai penyanyi. – KOSMO! ONLINE