RIYADH – Hampir satu juta jemaah dari seluruh dunia tiba di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.
Setakat kelmarin, seramai 935,966 jemaah haji tiba melalui semua laluan termasuk udara, darat dan laut, demikian menurut Direktorat Umum Pasport (Jawazat).
Menurut Jawazat, sebahagian besar jemaah haji tiba melalui laluan udara dan bilangan mereka mencapai 896,287 orang.
Sementara itu, jumlah jemaah yang tiba melalui pintu masuk darat berjumlah 37,280 orang, manakala 2,399 yang lain datang dengan menaiki kapal, lapor agensi berita Saudi Press Agency (SPA).
Tambah direktorat sama, pihaknya memanfaatkan segala kemudahan untuk memendekkan prosedur kemasukan semua tetamu Allah itu dengan menyokong platform online di pintu masuk udara, darat dan laut.
Ia dilakukan menerusi peranti teknikal terkini kendalian warga Arab Saudi berkelayakan dan mahir dalam pelbagai bahasa yang dituturkan oleh jemaah haji.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Arab Saudi sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan siap sedia untuk musim haji kali ini.
Pentadbiran kota suci Mekah turut membuat persiapan rapi termasuk menyelia jalan raya, lampu, laluan pejalan kaki dan kemudahan awam lain untuk kegunaan yang selamat dan optimum.
Di bawah seliaan Kementerian Kesihatan, Kluster Kesihatan Mekah mengesahkan kesediaan musim haji kali ini dengan pelan untuk 18 hospital dan 126 pusat kesihatan beroperasi di Tanah Suci untuk menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi. – AGENSI