KUALA TERENGGANU – Pengasas pasar raya Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd., Che Salmi Che Ibrahim, 56, meninggal dunia akibat kanser hari ini.
Allahyarham yang juga pengarah urusan pasar raya Bumiputera terkenal di Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Selangor pada pukul 4.45 pagi.
Pengurus Perhubungan Korporat Sabasun, Wan Zulaidi Wan Abdul Fatah berkata, Che Salmi dikesan menghidap kanser pada kira-kira tiga bulan lalu.
“Doktor masih belum mengenalpasti jenis kanser dihadapi Allahyarham (Che Salmi) dan masih dalam kajian.
“Jenazah Allahyarham akan dibawa untuk disolatkan di Masjid Khalifah Taman Jaya di sini selepas solat Asar hari ini,” katanya di sini hari ini.
Wan Zulaidi berkata, jenazah Che Salmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil di sini.
Allahyarham Che Salmi menubuhkan pasar raya Sabasun pada 1995 di Bukit Kecil sebelum berkembang kepada enam cawangan termasuk di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Sabasun dikenali sebagai pasar raya pendukung pembebasan Palestin dengan memboikot secara terangan produk-produk berkaitan Israel sejak awal penubuhannya lagi.
Pasar raya yang mengutamakan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan itu mampu menjana pendapatan RM3 sebulan dan menggaji 450 pekerja semuanya dalam kalangan rakyat tempatan. – KOSMO! ONLINE