PETALING JAYA – Lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, tajaan perlindungan oleh Grab Malaysia bagi rakan pemandu dan penghantar adalah untuk tempoh 12 bulan bermula dari tarikh didaftarkan.
“Tajaan Grab Malaysia adalah menerusi inisiatif Belanjawan 2024, di bawah geran padanan caruman SKSPS, dengan 90 peratus ditanggung kerajaan manakala baki 10 peratus ditaja sepenuhnya Grab Malaysia.
“Melalui inisiatif ini, perlindungan percuma diberikan kepada mereka yang layak sekali gus
berupaya mengurangkan beban
dalam mendapatkan perlindungan sebagai sokongan kewangan bagi menjamin keselamatan dan keluarga mereka sekiranya ditimpa bencana sewaktu menjalankan
aktiviti pekerjaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Steven berkata, signifikan SKSPS kepada pencarum dibuktikan berdasarkan perangkaan yang dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jelasnya, dalam tahun ini sehingga 24 Mei lalu, sebanyak 2,033 kes tuntutan diterima dan diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan mencecah lebih RM8.93 juta merangkumi 20 sektor.
“Daripada jumlah itu, sektor e-hailing dan p-hailing mencatatkan sebanyak 631 kes tuntutan dengan pembayaran faedah berjumlah RM3.3 juta.
“Dalam tempoh sama, Perkeso turut merekodkan seramai 622,473 pencarum SKSPS aktif setakat 24 Mei lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE