LUMUT – Kapal tempur pesisir pertama negara (LCS1) yang sedang dalam pembinaan telah berjaya melalui proses peluncuran ke air buat pertama kalinya pada 23 Mei lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peluncuran itu dilakukan selepas mendapat persetujuan pihak yang membuat reka bentuk, pihak yang mengawal kualiti pembinaan serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Peluncuran ini bertujuan menguji kestabilan serta keutuhan kapal, jadi ia telah melalui proses itu.
“Kerajaan gembira kerana ia telah menepati ‘milestones’ (peristiwa penting) mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke kapal bernama Maharaja Lela itu di limbungan Lumut Naval Shipyards Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Menurut Mohamed Khalid, selepas proses peluncuran, kini dilakukan kerja-kerja memasang peralatan dan perkakasan dalam kapal dan dijangka mengambil masa sehingga tahun depan.
Jelasnya, pemasangan itu turut meliputi ujian pemasangan enjin kapal, sistem persenjataan dan sistem komunikasi termasuk 13 peralatan besar yang perlu ditempah dari berbagai syarikat di luar negara.
Bagi pemasangan sistem persenjataan pula, maklumnya, ia akan mengambil sedikit masa kerana memerlukan kelulusan daripada kerajaan Perancis.
Katanya lagi, kapal itu kemudian akan melalui proses ujian di pelabuhan mulai Disember tahun depan, seterusnya ujian di laut sebelum dijangka diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.- KOSMO! ONLINE