fbpx

Kuala Dungun catat IPU tidak sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Satu kawasan di Kuala Dungun, Terengganu mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 153.

Ia berikutan kebakaran hutan belukar (kawasan tanah gambut) di Kampung Tok Kah, Dungun.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, susulan status IPU mencecah bacaan 151-200 dalam tempoh lebih 24 jam itu, pihaknya mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran Awal 2 kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

Katanya, ia sebagai tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke peringkat negeri dan daerah terbabit untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah atau Negeri dan mengambil segala tindak balas berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan drone serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Koordinasi di antara agensi berkaitan bagi merancang kerja-kerja pemadaman dan kawalan kebakaran turut diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam melaporkan di rantau ASEAN selatan mengalami cuaca mendung di kebanyakan bahagian kecuali di bahagian tengah Sumatera dan sebahagian Borneo yang mengalami cuaca kering.

Jelasnya, tiada titik panas diperhatikan di rantau selatan ASEAN dan tiupan angin diramalkan bertiup dari timur ke tenggara.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Ini termasuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI