fbpx

Ketua Perangkawan ke-4, Datuk Shaari Abdul Rahman meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Shaari Abdul Rahman meninggal dunia semalam.

PETALING JAYA – Bekas Ketua Perangkawan, Datuk Shaari Abdul Rahman, dilaporkan meninggal dunia pada semalam.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh, Kuala Lumpur hari ini.

Sebagai rekod, Allahyarham memegang jawatan sebagai Ketua Perangkawan Malaysia selama sembilan tahun bermula 1995 hingga 2004.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini berkata, Allahyarham Shaari memulakan kerjaya sebagai perangkawan pada 1 Mei 1971 dan pernah dilantik memikul jawatan Pesuruhjaya Banci pada 2000.

“Antara usaha yang dipelopori beliau adalah memperkukuhkan perkhidmatan jabatan melalui pengukuhan peranan DOSM negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.

“Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam prosesan dan penghantaran data secara atas talian melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.

“Selain itu, Allahyarham mempelopori penggunaan Sistem Daftar Pertubuhan (SIDAP) yang dipertingkat dan disesuaikan ke DOSM negeri,” jelas DOSM.

Selepas bersara pada 19 September 2004, Allahyarham Shaari yang juga Ketua Perangkawan keempat, meneruskan khidmat menjawat tugas penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik selain aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat FELCRA.

Dalam kenyataan sama, warga DOSM turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga terus tabah serta bersabar dengan kehilangan insan tersayang itu.

“DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti Allahyarham khusunya dalam memperkukuhkan sistem statistik dalam membantu negara menyediakan dasar dan perancangan sosio ekonomi,” tambah DOSM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI