fbpx

Jakim diminta pendekkan tempoh proses pensijilan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD ZAHID (kanan) melihat model Hal-Cube sempena Program Halal On Track@Johor sambil diperhatikan Onn Hafiz di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Tempoh memproses pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dipendekkan kepada 15 hari berbanding 23 hari, sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehubungan dengan itu meminta Jakim melaksanakan inisiatif itu susulan kejayaan badan itu memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 30 hari kepada 23 hari, tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Jakim memendekkan pengeluaran persijilan halal ke 30 hari, dua tahun lalu.

“Ini adalah kejayaan cukup baik dan tentunya apa yang kita mahu selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat diluluskan.

“Saya sudah arahkan MARA untuk peruntukan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (persijilan halal) mengikuti model bimbingan Jakim supaya permohonan persijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh masa singkat.

“Jika Jakim dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari malah saya cabar Jakim dapat keluarkan (sijil halal) dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Halal On Track 2024@Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari sebelum ini.

Anwar dilaporkan berkata, Halal Development Corporation (HDC) bersama Jakim akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, melancarkan i-Bimbing 2.0, untuk membantu usahawan industri halal negara menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia sekali gus memendekkan proses persijilan halal dikeluarkan.

i-Bimbing 2.0 adalah edisi penambahbaikan fungsi i-Bimbing halal yang telah dilancarkan 2023 oleh Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Hal-Cube yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif Bank Islam disokong Jakim bagi mempersiapkan usahawan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Hal-Cube menawarkan usahawan premis produksi yang mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan Jakim sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal kepada mereka,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI