MANILA – Tentera Manila menyatakan hari ini bahawa bot-bot China secara haram ‘merampas’ makanan dan ubat yang digugurkan dari udara untuk sebuah pos luar Filipina di Laut China Selatan.
Kejadian didakwa berlaku pada 19 Mei lalu di Terumbu Thomas Kedua, Kepulauan Spratly.
Sejumlah askar Filipina ditempatkan di atas sebuah kapal terkandas untuk mengukuhkan tuntutan Manila terhadap perairan itu.
Menurut Manila, ia adalah kali pertama rampasan bekalan yang dihantar berlaku.
“Perbuatan mengambil atau merampas bekalan kami (Filipina) adalah menyalahi undang-undang.
“Anda tidak sepatutnya merampas bekalan negara lain sekali pun semasa perang,” kata komander tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner kepada pemberita.
Kakitangan China di atas bot-bot tersebut kemudian membuang semua barangan itu ke dalam laut, kata jurucakap Tentera Laut Filipina, Komodor Roy Vincent Trinidad.
Menurutnya, askar-askar Filipina berjaya mendapatkan semula semua barangan yang digugurkan itu pada hari kejadian.
Dalam maklum balasnya hari ini, , China menyelar Filipina dengan menegaskan bahawa kapal Sierra Madre itu dibiarkan terkandas secara haram di terumbu berkenaan dan menggesa Manila berhenti ‘membuat kacau’.
“Filipina berulang kali mencetuskan provokasi dan meningkatkan konflik serta situasi tegang. Kami tidak boleh menerima semua ini,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning kepada pemberita.
Terumbu Thomas Kedua terletak sekitar 200 kilometer dari Pulau Palawan, barat Filipina dan lebih 1,000 kilometer dari daratan terdekat milik China, Pulau Hainan.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, manakala konfrontasi melibatkan kapal China dan bot Filipina berulang kali berlaku di kawasan terumbu tuntutan bertindih, kerap kali semasa misi menghantar bekalan ke Terumbu Thomas Kedua oleh Manila. – AFP