LONDON – Bintang kontroversi Manchester United, Jadon Sancho mendedahkan bahawa dia sedia kembali ke Old Trafford, namun memberikan syarat bahawa pihak pengurusan perlu memecat Erik Ten Hag.
Sancho menikmati kejayaan luar biasa sepanjang enam bulan menyertai Borussia Dortmund sebagai pemain pinjaman menyebabkan kelab Jerman itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap.
Bagaimanapun, Dortmund terpaksa berdepan dua halangan besar iaitu nilai yang diminta United sebanyak £50 juta (RM299.71 juta) dianggap cukup tinggi dan keduanya adalah keinginan Sancho yang mahu terus berjuang di Liga Perdana Inggeris.
Pergaduhan antara Ten Hag dan Sancho sebelum ini mencetuskan kontroversi hangat apabila dia menuduh pengurusnya itu penipu dan enggan membuat permohonan maaf secara terbuka menyebabkan pemain itu ‘dibekukan’ sebelum dilepaskan ke Dortmund.
Ten Hag juga secara terbuka memberitahu bahawa beliau gembira melihat potensi dipamerkan Sancho bersama Dortmund kerana ia mampu meningkatkan nilainya, sekali gus ia memberi gambaran bahawa pemain itu tidak ada peluang untuk kembali ke Old Trafford.
Bagaimanapun, Ten Hag ketika ini masih mencongak nasibnya bersama United apabila kemungkinan berdepan pemecatan dengan beberapa calon seperti Mauricio Pochettino, Thomas Tuchel dan Thomas Frank menjadi antara calon pengurus baharu United. – AGENSI