fbpx

Dua ‘otai’ jadi sandaran Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI (kanan) dan Akhyar menjadi sandaran peminat untuk menyaksikan kejayaan Harimau Malaya selepas ketiadaan Arif Aiman dan Faisal Halim.

DUA pemain ‘otai’ skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid digesa untuk menjadikan aksi bertemu Kyrgyzstan pada Khamis ini sebagai medan untuk kembalikan sentuhan emas seperti yang ditampilkan pada tahun 2017 hingga 2021.

Sebagai rekod, Safawi dianggap sebagai salah seorang pemain prolifik skuad negara sebelum era Kim Pan-gon yang bermula pada tahun 2022 dengan menggantikan Tan Cheng Hoe.

Sejak melakukan debut pada tahun 2016 bersama Harimau Malaya, Safawi berjaya menjaringkan 15 gol di pentas antarabangsa sehingga penghujung 2021.

Namun, impaknya sedikit merudum sejak Pan-gon menjadi ketua jurulatih kerana kegagalan mendapatkan minit permainan di peringkat kelab selain peningkat mendadak prestasi penyerang lain seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Sejak itu, Safawi hanya mampu menambah lima gol di pentas antarabangsa dengan kali terakhir mencetak nama selaku penjaring ketika menewaskan Papua New Guinea, Jun tahun lalu.

Situasi sama juga melibatkan Akhyar yang dilihat tidak konsisten sejak beberapa tahun lepas, tetapi sering diturunkan sebagai ‘super-sub’ oleh Pan-gon kerana memiliki kepantasan dan penyudah yang baik.

Bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk Safawi dan Akhyar mengharumkan nama kembali dalam arena bola sepak tempatan selepas Arif Aiman dan Faisal disisihkan ekoran kecederaan.

Kata Shahrom, pemain berpengalaman yang kini dipinjamkan ke kelab Terengganu FC (TFC) itu harus bekerja keras untuk menampung ketiadaan Arif Aiman dan Faisal di jentera serangan.

“Perkara yang baik untuk skuad kebangsaan adalah Safawi dan Akhyar kini sudah mendapat minit permainan bersama TFC. Saya percaya ini masa mereka memikul tanggungjawab,” katanya kepada Kosmo!.

Antara kejayaan ‘gandingan’ Safawi-Akhyar di zaman puncak sebelum ini adalah membantu skuad B-23 negara meraih pingat perak Sukan SEA 2017, mara ke suku akhir Piala Asia B-23 2018, pusingan 16 terbaik Sukan Asia 2018 dan finali Piala AFF 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI