PETALING JAYA- Enggan lagi terkesan dengan hal remeh-temeh, pelakon Lufya Omar mengakui dirinya kini lebih tenang dalam menangani sebarang masalah.
Dihimpit pelbagai dugaan tahun lalu, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 39, sudah berdamai dengan takdir selain mengambil pengajaran daripada setiap peristiwa.
“Saya berdamai dengan takdir itu maksudnya apa yang telah ditakdir Allah saya reda tetapi hal dunia ni antara saya dan Allah.
“Jadi siapa yang buat salah dengan saya, antara saya maafkan atau tidak itu urusan saya dengan Allah. Urusan dekat dunia ini wajib diselesaikan lah tapi tak selesai lagi.
“Biar benda ini tenang tak perlu saya bagi ‘spotlight’ dekat orang itu. Apa yang terjadi tahun lepas, benda itu macam titik tolak untuk saya sepatutnya lebih rileks,” katanya menerusi satu rancangan hiburan.
Disoal sama ada boleh memaafkan pihak yang sering melukai dirinya dan anak, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan dia tidak berbuat demikian kerana belum menerima sebarang permohonan maaf.
Pun begitu katanya, permohonan maaf itu perlulah ikhlas dan tidak digembar-gemburkan.
“Tak minta maaf macam mana nak maafkan? Kalau awak ada buat salah dekat orang kena minta maaf dekat orang itu tapi itu antara saya dengan Allah.
“Tapi tak payah bawa media atau kamera di belakang, itu lain. Dia kena macam ikhlas dan kena betulkan benda yang dah kacau-bilau. Orang kalau ada usaha, kita sendiri tahu.
“Kita pun bukan orang yang kejam. Bila sesuatu kerosakan berlaku, awak nak perbaiki semua itu nak jadi sempurna balik tak boleh tapi sekurang-kurangnya awak ada usaha,” ujarnya.
Mengulas tentang tuntutan mutaah sejumlah RM1 juta daripada bekas suami, Lufya bertindak untuk tidak berkongsi kerana proses masih berjalan.
“Proses ini bukan sekejap. Sebenarnya tuntutan itu dah lama tapi proses dekat Malaysia kena tunggu dan sabar. Ia masih berterusan, saya rasa tak perlulah nak kongsikan kepada umum,” tutupnya.
Lufya dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia tujuh tahun.
Namun pasangan tersebut sah bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam, Selangor. – KOSMO! ONLINE