LUMUT – Badan dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini sehingga mengorbankan 10 nyawa pada 23 April lalu akan melalui proses pelupusan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara itu selepas siasatan mengenainya selesai dijalankan dengan laporan akhir hasil siasatan didedahkan kepada umum pada minggu lalu.
“Kita akan melihat dan belajar daripada pengalaman itu (supaya tidak berulang pada masa depan).
“Kemalangan adalah sesuatu yang tidak dijangka dan (kita) akan pastikan apa yang (boleh) dipelajari daripada insiden ini, ia akan memberi panduan dan pengajaran,” katanya pada sidang media di limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Pada 23 April lalu, dua buah helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut kira-kira pukul 9.30 pagi.
Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di Lumut dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah, terkorban.
Dua pesawat itu iaitu Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan pada pukul 9.03 pagi terhempas ketika berada dalam ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Pesawat Fennec terhempas di kawasan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, manakala AW139 pula terjatuh di Stadium TLDM Lumut. – KOSMO! ONLINE