fbpx

‘Tiba-tiba muncul timbunan sampah, gelombang air besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Alia Aishah menunjukkan lokasi dia, anak lelaki dan adik perempuannya dihanyutkan kepala air di Lata Changkah, Setiu semalam.

SETIU – Tiga sekeluarga termasuk seorang budak lelaki berusia tujuh tahun berdepan detik cemas dihanyutkan kepala air sejauh kira-kira lima meter sewaktu beriadah di Lata Changkah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa iaitu Siti Alia Aisha Mohd. Afandi, 30, anak lelakinya dan adik perempuannya bernasib baik diselamatkan pengunjung lain.

Menceritakan detik cemas itu, Siti Alia Aisha yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan, dia berkelah di kawasan rekreasi terbabit bersama lima ahli keluarganya.

“Sewaktu saya dan adik perempuan sedang leka mandi bersama dua anak lelaki berusia dua dan tujuh tahun tiba-tiba kami dikejutkan dengan jeritan salah seorang anak saudara yang memberitahu kehadiran fenomena kepala air.

“Tidak sempat kami menyeberang sungai tiba-tiba muncul timbunan sampah hanyut sebelum gelombang air besar deras berlaku sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Lata Changkah di sini hari ini.

Siti Alia Aishah berkata, dalam keadaan cemas itu, anak keduanya yang berusia dua tahun sempat dicapai dan diselamatkan seorang pengunjung lelaki yang kebetulan merupakan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tambahnya, dia, anak sulung dan adik perempuannya hanya mampu menjerit ketakutan apabila mereka dihanyut arus kepala air itu sejauh hampir lima meter.

“Syukur anak lelaki dan adik perempuan saya sempat berpaut pada pelampung yang dilempar pengunjung sebelum diselamatkan.

“Saya juga diselamatkan orang ramai. Alhamdulillah, saya tidak sangka terselamat dan cuma ingat keselamatan anak dan adik sahaja sewaktu dihanyutkan kepala air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI