PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menasihati orang ramai untuk berhati-hati dan mengambil langkah waspada dengan individu yang gemar bercerita buruk tentang orang lain.
Menurut PHM, individu toksik seperti itu adalah kategori manusia yang berlakon seolah-olah mereka disakiti oleh orang lain dan hanya mahu menjadi perhatian umum.
“Berhati-hati dan waspada dengan orang begini. Dia yang menyakiti tapi berlagak dan bercerita seolah-olah dialah yang disakiti.
“Orang lain pula yang dikata jahat, diburuk-burukkan dan paling ‘red flags’ dia boleh berbuat apa sahaja agar nampak orang lain yang bersalah,” kata PHM menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam pada itu, PHM turut menerangkan beberapa ciri manusia dengan sikap ‘playing victim’.
Antaranya adalah, individu itu gemar berpura-pura seperti mangsa yang disakiti oleh orang lain selain suka bercakap bohong untuk mendapat sokongan.
“Selain itu, bijak berpura-pura menyalahkan orang lain bagi menutupi salah sendiri, pandai mengarang cerita, malah memfitnah serta menjadi individu terawal mencipta masalah.
“Ciri lain adalah sejenis manusia suka mencari simpati sana dan sini serta tidak mudah mengakui kesilapan diri,” kongsi PHM. – KOSMO! ONLINE