fbpx

Pengorbanan dua juara para dunia berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYUB (kanan) bersama Hasmiunirah menunjukkan pingat emas yang dimenangi di Kejohanan Boling Padang Para Dunia ketika ditemui di KLIA hari ini.

PENGORBANAN atlet para negara, Muhamad Ayub Mohd. yang terpaksa mengenepikan pekerjaan selaku tukang urut untuk mengejar kejayaan buat Malaysia ternyata berbaloi apabila berjaya menuai pingat emas Kejohanan Boling Padang Dunia di Afrika Selatan baru-baru ini.

Atlet berusia 42 tahun itu yang beraksi dalam kategori B2 (kecacatan penglihatan) mengakui segala pengorbanannya ter­utama meninggalkan isteri yang juga orang kelainan upaya (OKU) untuk menguruskan anak-anak telah dibayar dengan sebutir ­pingat emas.

Katanya, dia bekerja keras untuk memberikan aksi terbaik di kejohanan tersebut kerana sedar Malaysia sudah lama tidak memenangi pingat emas di pentas dunia sejak kali terakhir atlet negara menjuarai kejohanan dunia pada 2004.

“Alhamdulilah saya benar-benar terharu kerana ini adalah pingat emas pertama di kejohanan dunia. Lebih 10 tahun saya melibatkan diri dalam sukan ini dan ini kali pertama saya meraih pingat emas di peringkat antarabangsa.

“Saya memang tidak jangka kerana cabaran negara-negara lain yang mempunyai pengalaman dan juga taktikal lebih bagus dari saya. Syukur, segala perancangan benar-benar menjadi kerana kami telah berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan milik negara.

“Untuk capai tahap ini bukan mudah kerana saya telah berkeluarga, terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak. Isteri saya juga OKU dan saya melepaskan tanggungjawab kepada dia, jadi agak berat apabila dia terpaksa menguruskan anak-anak. Demi sukan dan negara, saya terpaksa pergi juga.

“Saya juga bekerja sendiri sebagai tukang urut. Bila menyertai latihan, saya hilang pendapatan. Saya nak menangis pun ada tetapi semua itu adalah faktor-faktor menguatkan semangat untuk memburu emas.

“Bila berjaya bawa pulang emas saya rasa benar-benar berbaloi dengan pengorbanan yang saya sebelum ini,” katanya yang ditemui pada majlis sambutan kepulangan skuad boling padang para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Malaysia turut membawa pulang pingat emas acara wanita apabila Hasmiunirah Maliki membuktikan kehebatannya mengatasi ­Afrika Selatan, Kanada dan juga England.

Kata Hasmiunirah, dia tidak sangka dapat menjelmakan emas kerana turun ke kejohanan pada saat akhir menggantikan tempat rakan sepasukan, Jariah Zakariah yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou, China disebabkan menunaikan ibadah Haji.

“Sebenarnya ia adalah satu tanggungjawab yang amat berat tetapi saya lega melaksanakannya dengan baik. Pingat emas ini amat bermakna kerana ia adalah hadiah kepada orang sekeliling, terutama keluarga banyak menyokong dan persatuan yang banyak memberi tunjuk ajar dalam sesi latihan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI