PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya (LLM) memaklumkan satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis trak pikap kini sedang berlaku di KM 30.7 arah barat dari Genting Sempah ke Gombak sehingga menyebabkan lorong kanan terhalang.
LLM menerusi satu kenyataan berkata, ketika ini kemalangan tersebut menyebabkan keadaan trafik sesak di lokasi terbabit.
“Berhati-hati memandu. Segala kesulitan yang dihadapi ketika ini amatlah dikesali,” tulis LLM sebentar tadi.
Tambah kenyataan itu, ketika ini juga berlaku kesesakan dan trafik perlahan di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di tiga kawasan iaitu dari arah barat Bentong ke Lentang, Genting Sempah ke Gombak dan Hentian Sebelah Gombak ke Plaza Tol Gombak.
Semalam, Kosmo! melaporkan, lebuh raya tersebut kembali sibuk apabila orang ramai yang bercuti di kampung sempena musim cuti persekolahan minggu lalu kembali pulang ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE.