fbpx

Keluarga remaja OKU kutip tin dibantu Econsave

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yoke Fong (paling kanan), menyerahkan bantuan kepada asnaf Noraniza Abdul Wahab (dua dari kiri), di Wangsa Maju, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kesusahan yang dialami keluarga remaja perempuan kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun yang terpaksa mengutip botol dan tin kosong di sekitar perumahan Seksyen 2, Wangsa Maju, mendapat perhatian daripada Pasaraya Econsave.

Pasaraya Econsave telah menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM1,000 berbentuk barangan keperluan dan makanan bagi membantu meringankan beban keluarga tersebut.

Pengurus besarnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan tersebut setelah mendapat tahu beban yang dipikul remaja kecil itu dalam menyara kehidupan mereka empat beranak.

“Atas dasar keprihatinan terhadap masyarakat setempat, kami berbesar hati untuk menyumbangkan baucar bernilai RM1,000 berbentuk barangan dapur dan keperluan harian mengikut permintaan mereka.

“Ia sememangnya sudah menjadi tanggungjawab sosial buat kami bagi membantu masyarakat yang memerlukan melalui peruntukan dana RM500,000 setiap tahun yang dikhususkan untuk kerja-kerja amal tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Econsave cawangan Lembah Klang dan Selangor, Lim Yoke Fong bersama Pengurus Econsave cawangan Setapak Central, Nurul Asyikin, ke rumah keluarga remaja terbabit.

Mengulas lanjut, Mas Imran Adam juga menzahirkan ucapan tahniah buat akhbar Kosmo! kerana terus komited berkongsi kisah masyarakat prihatin lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan.

“Kami juga ucapkan syabas dan tahniah buat akhbar Kosmo! yang kerap berkongsi kisah masyarakat yang kurang bernasib baik kepada tatapan umum sekali gus memberi sinar harapan buat mereka yang memerlukan.

“Diharapkan supaya sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban adik Ainul Mardhiah sekeluarga serta menyuntik semangat buat mereka untuk terus tabah menjalani kehidupan,” kata Pengurus Besar Pasaraya Econsave itu.

Sementara itu, Econsave melalui cawangan Setapak Central sentiasa komited dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya membantu menyumbangkan bantuan secara berterusan kepada keluarga itu sekiranya mereka memerlukan pertolongan sekali lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI