LONDON – Bintang Real Madrid, Toni Kroos memastikan dia menutup kariernya dengan warna-warni apabila menambah satu lagi trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam koleksi peribadinya.
Awal pagi semalam, Kroos membantu Los Blancos menjulang kejuaraan ke-15 pertandingan itu selepas membenam Borussia Dortmund 2-0 di Stadium Wembley.
Selain berjaya mengumpul satu lagi pingat kejuaraan, final kali ini nyata begitu manis buat pemain dari Jerman itu kerana turut muncul pencetus kepada jaringan pertama Real yang terhasil menerusi Dani Carvajal pada minit ke-74.
Kroos sendiri mengakui tidak pernah percaya dia mampu mencapai kejayaan peribadi seperti ini dan mengangap ia sebagai sesuatu yang cukup gila kerana telah memenangi enam gelaran UCL bersama Real.
“Luar biasa. Enam kejuaraan Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang gila dan menjadi kejayaan yang tidak pernah saya bayangkan. Asasnya kami tidak boleh kalah dalam aksi final.
“Kejayaan ini adalah disebabkan kualiti tetapi mentaliti (pemain) juga begitu luar biasa dan inilah yang membezakan Real dengan kelab lain,” katanya.
Sebelum ini, Kroos sudah mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak selepas selesai tugasan kebangsaan bersama Jerman pada saingan Euro 2024 yang akan bermula 5 Jun ini.
Sementara itu, kejayaan kali ini turut memberikan mimpi indah buat seorang lagi bintang Real, Jude Bellingham yang melengkapkan musim pertamanya dengan kelab gergasi Sepanyol berkenaan selepas berhijrah daripada Dortmund pada Jun lalu..
Bellingham turut memainkan peranan penting apabila mencetuskan gol kedua Real daripada Vinicius Junior untuk menghampakan Dortmund pada minit ke-83.
“Saya sentiasa mengimpikan bermain dalam perlawanan seperti ini dan walaupun sukar, kejayaan ini jelas sesuatu yang cukup berbaloi.
“Saya tidak dapat jelaskan dengan kata-kata kerana ini akan jadi malam yang penuh gemilang dalam hidup saya,” jelas Bellingham. – AGENSI