fbpx

Jemaah 90 tahun syukur hajat ke Mekah akhirnya tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zakaria bersama cucunya, Mohd. Syafiq menunaikan ibadah haji di Tanah Suci pada tahun ini.

MEKAH – Usianya sudah hampir satu abad dan telah menempuh pelbagai pahit manis pengalaman hidup.

Namun hanya satu yang dia inginkan tetapi belum tercapai iaitu menunaikan haji dan keinginannya untuk menjejak kan kaki ke Tanah Suci tidak pernah terpadam.

Malah selepas dua tahun berturut-turut tawaran ke tanah suci terpaksa ditolak, akhirnya rezeki berpihak kepada Zakaria Hamad apabila bergelar dhuyufurrahman bagi musim haji 1445H/2024.

Warga emas berusi 90 tahun yang berasal dari Kampung Bilut, Kota Bharu Kelantan ini menunaikan ibadah itu dengan diiringi cucu sulungnya, Mohd. Syafiq Mohd. Sekari, 37.

Katanya, keputusan berat yang dibuat pada tahun 2022 dan 2023 itu disebabkan keadaan kewangan serta keluarga yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, pesawah ini tidak henti-henti berdoa agar dirinya dijemput sekali lagi ke Baitullah.

“Dua tahun berturut-turut saya terima panggilan tetapi kedua-duanya ditolak atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Tahun ini, ditakdirkan saya terima lagi panggilan haji dan ahli keluarga termasuk cucu banyak membantu terutama dari segi kewangan hingga akhirnya saya dapat sampai ke sini,” katanya.

Zakaria memberitahu, dia mula menyimpan duit untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu sejak berusia 15 tahun lagi, manakala pendaftaran haji pula dibuat pada 2003.

Namun, pemergiannya ke tanah suci tidak ditemani isteri, Ramlah Deris, 85, kerana kurang sihat.

“Isteri saya pernah menjalani pembedahan perut bagi membuang ketumbuhan.

“Dia cakap tak apa saya pergi (haji) dulu dan pesan untuk doakan semua ahli keluarga sihat,” katanya yang berkahwin sejak 65 tahun lalu.

Walaupun usianya hampir mencecah satu abad, tetapi tahap kesihatan datuk kepada 11 cucu ini masih lagi baik tanpa sebarang penyakit.

Daya ingatan dan pertuturannya juga masih jelas selain mampu bermotosikal ke masjid hampir setiap hari.

Jelas Zakaria, tiada petua tertentu untuk kekal sihat, sebaliknya hanya mengamalkan bacaan pelbagai jenis selawat termasuk tafrijiyah dan petikan surah Al-Baqarah dalam rutin hariannya.

“Alhamdulillah, kesihatan molek lagi dan tidak ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung.

“Saya sokmo (selalu) berselawat selepas solat Maghrib dan Isyak sambil berdoa Allah panjangkan umur serta sihat tubuh badan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI