fbpx

Ibu saudara sedia jaga dua beradik yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qaisara Damia (tengah) menangis teresak-esak semasa jenazah kedua ibu bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KOTA BHARU – Ibu saudara kepada Qaisara Damia Ridwan Effendy,15, dan adiknya, Akid Darwisy, 9, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Gua Musang semalam akan mengambil tanggungjawab menjaga dua beradik itu.

Suhaida Khairudin, 42, yang merupakan kakak kepada arwah Suhana Khairudin, 37, berkata, dia bersama ahli keluarga lain bersedia untuk menjaga dua anak saudaranya itu dan perbincangan mengenai perkara tersebut akan dilakukan selepas ini.

Menurutnya, kedua-dua beradik itu akan tetap bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong di sini.

“Kami akan berbincang mengenai penjagaan dua beradik itu dengan keluarga sebelah arwah ayahnya memandangkan kedua-dua datuk dan nenek mereka masih ada.

“Keadaan ketika ini Akid Darwisy tenang, cuma kakaknya, Qaisara Damia masih lagi bersedih dan terkejut dengan kehilangan kedua ibu bapa,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suhaida memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan arwah Suhana melalui panggilan telefon pada malam kelmarin iaitu sebelum arwah bertolak pulang ke kampung.

Menurutnya, arwah ada memaklumkan keadaannya sahaja selepas menjalani rawatan untuk pemindahan air ketuban bayi kembarnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang anggota tentera dan isterinya yang mengandung anak kembar maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok longkang dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing dekat sini semalam.

Mangsa, Ridwan Effendy yang memandu kereta jenis Kia Rio dan isterinya, Suhana seorang suri rumah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang, Qaisara Damia dan Akid Darwisy luka pada bahagian kaki dan mulut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI