SETIAP orang mempunyai hobi tersendiri untuk mengisi masa terluang.
Namun, ia bergantung kepada minat dan kecenderungan seseorang.Ada yang memilih untuk berlari dan menyertai aktiviti sukan ekstrem sehingga sanggup mengembara hingga ke Gunung Everest.
Namun, bagi Gadis Kampus kali ini, Raja Fazzrika Farisha Raja Mohamad Farok, 22, dia lebih suka menyendiri dan duduk menghadap komputer riba untuk melakar lukisan digital.
Menurut gadis ayu dari Shah Alam, Selangor itu, melukis adalah sebahagian daripada bidang Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif yang diikutinya di Management & Science University (MSU).
“Saya seorang yang ‘introvert’ dan lebih selesa melayan perasaan dengan melukis watak anime di komputer saya.
“Melakukan sesuatu yang kita suka merupakan sebahagian pembelajaran dan terapi setelah seharian menghadap kuliah,” katanya.
Lebih selesa dipanggil Fazzrika, dia bercita-cita menjadi pereka grafik dalam bidang seni lukis pada suatu hari nanti.
Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, cabaran dalam dunia kreatif dan kecerdasan buatan (AI) amat mencabar pada masa depan.
“Justeru, saya perlu memastikan bidang kreatif yang saya pelajari kekal relevan dengan keperluan industri.
“Sebagai generasi muda, saya perlu melihat ruang untuk melonjakkan diri dalam bidang seni dan tidak mengharapkan AI untuk memudahkan laluan tersebut,” katanya.
Fazzrika yang suka bermain permainan video berkata, kita sepatutnya mendalami bidang AI untuk membantu mencari makan dan bukannya menutup periuk nasi sendiri.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa perlu memastikan AI tidak menjadi punca banyak sektor pekerjaan yang menggunakan tenaga manusia diganti dengan robot atau aplikasi komputer.
“Hari ini penyampai radio dan berita boleh diganti oleh AI.
“Muzik dan lagu juga boleh digubah mengguna AI tanpa perlu studio yang canggih.
“Sebagai pelajar seni kreatif, kami juga didedahkan dengan lukisan digital. Cuma ideanya masih perlu ‘diperah’ dalam minda sebelum divisualkan. Ia tidak mampu lakukan oleh AI,” ujarnya.
Pada masa sama, Fazzrika aktif dalam aktiviti tarian, sekali gus menyebabkan dia terpilih menjadi Setiausaha Kelab Persembahan dan Kebudayaan MSU.
“Saya suka menari tarian moden seperti K-pop sejak sekolah menengah lagi.
“Masa itu, kawan-kawan sekolah saya lebih suka tarian tradisional Melayu, tetapi saya pilih tarian moden.
“Moden atau tradisional, ia bergantung pada minat masing-masing.
“Keunikan itu menjadikan saya lebih rapat dengan rakan-rakan sehingga kini,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebagai seorang pelajar yang matang dan telah menggenggam segulung diploma bidang sama, Fazzrika berkata, dia terkesan dengan situasi politik dan penderitaan rakyat Palestin.
Mengakui dirinya penyokong setia perjuangan rakyat Palestin, Fazzrika amat berharap situasi kritikal di Rafah akibat serangan rejim Zionis segera berakhir.
“Sememangnya kita mampu berdoa dan mendesak kuasa besar untuk menekan rejim tersebut berhenti daripada membunuh rakyat Palestin.
“Lebih 15,000 nyawa kanak-kanak terkorban, selain 20,000 orang dewasa. Kita pula tidak mampu berbuat apa-apa, itu yang paling menyedihkan,” katanya.
Sewajarnya kata Fazzrika, seluruh rakyat negara ini terus mendoakan kesejahteraan masyarakat Palestin yang hilang tempat tinggal dan terpaksa menjadi pelarian.
Pada masa sama, Fazzrika menegaskan, Kerajaan Malaysia perlu terus lantang memperjuangkan nasib umat Islam yang ditindas di semua platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Jika kita tidak memperjuangkan nasib rakyat Palestin, siapa lagi,” katanya sebelum menutup bicara.