PETALING JAYA – Proses bedah siasat jenazah pendaki Malaysia, Allahyarham Zulkifli Yusof, 37, yang meninggal dunia selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara pada 29 Mei lalu dijadualkan berlangsung hari ini.
Kelab Jelajah Alphine Malaysia (ACM) dalam kenyataan memaklumkan, jenazah Zulkifli kini ditempatkan di sebuah hospital Anchorage, Alaska.
“Selepas bedah siasat selesai, proses selanjutnya ialah mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk urusan membawa jenazah kembali ke Malaysia dibantu oleh Konsular General Malaysia di Los Angeles dan pihak syarikat insuran,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di Facebook sebentar tadi.
Dalam kenyataan sama, pihak kelab turut berkongsi perkembangan terkini dua lagi mangsa yang terlibat dalam ekspedisi terbabit.
“Tahap kesihatan pendaki Zainudin Lot semakin baik dan dibenarkan keluar dari hospital di Talkeetna Alaska pada semalam.
“Sementara itu Illaham Ishak masih menjalani rawatan di hospital di Anchorage,” katanya.
Tambahnya, wakil kelab, Norsafrina Shamsir Md Nasir akan membantu proses mengambil peralatan mendaki yang ditinggalkan tiga peserta terbabit di pergunungan Denali.
Terdahulu, ahli keluarga Allahyarham Zulkifli memohon doa daripada rakan serta orang ramai supaya dipermudah urusan membawa pulang jenazah ke tanah air serta dikebumikan di kampungnya di Perak. – KOSMO! ONLINE