RIYADH – Pihak berkuasa awam Arab Saudi mula mengenakan penalti terhadap jemaah yang menunaikan haji tanpa permit dalam peraturan berkuat kuasa hingga 20 Jun ini, lapor laman berita Arab News semalam.
Antara kawasan yang termaktub dalam peraturan tersebut ialah kota suci Mekah, Stesen Kereta Api Haramain dan pusat-pusat pemeriksaan keselamatan sementara, demikian menurut agensi berita Saudi Press.
Mana-mana individu termasuk warganegara Arab Saudi yang didapati bersalah melanggar peraturan haji itu akan dikenakan denda 10,000 Riyal Saudi (RM 12,551).
Jemaah haji warga asing pula akan dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman dan mereka dilarang memasuki Arab Saudi untuk tempoh tertentu.
Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, pesalah yang melakukan kesalahan berulang akan dikenakan denda dua kali ganda.
Arahan itu dikuatkuasakan supaya jemaah haji sedar mengenai kepentingan mematuhi peraturan dan arahan haji supaya para jemaah dapat mengerjakan ibadah berkenaan dengan selamat dan aman.
Selain itu, individu yang ditangkap kerana membantu jemaah haji tanpa permit berdepan hukuman lebih berat iaitu penjara enam bulan dan denda 50,000 Riyal Saudi (RM 62,760). – AGENSI