SINGAPURA – Menteri Pertahanan China, Dong Jun memberi amaran semalam bahawa tenteranya bersiap sedia untuk menghalang kemerdekaan Taiwan ‘secara paksa’ jika perlu.
Beliau berkata, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) tidak akan dapat dihancurkan, malah mampu mempertahankan penyatuan tanah airnya itu yang melibatkan pulau tersebut.
“Tentera Pembebasan Rakyat China sentiasa menjadi kuasa yang tidak dapat dihancurkan dan berkuasa dalam mempertahankan penyatuan tanah air.
“Ia akan bertindak tegas pada setiap masa bagi menghalang kemerdekaan Taiwan dan untuk memastikan ia tidak pernah berjaya dalam percubaannya.
“Mana-mana pihak yang berani memisahkan Taiwan dari China akan mengalami kemusnahan,” kata Dong dalam ucapannya semasa forum keselamatan Dialog Shangri-La di Singapura.
Forum tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai pertahanan dari seluruh dunia dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia dilihat sebagai pengukur hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.
China pernah membatalkan komunikasi ketenteraan dengan Washington pada 2022 sebagai tindak balas kepada lawatan Speaker Dewan Rakyat AS ketika itu, Nancy Pelosi ke Taiwan.
Ketegangan antara Washington dan Beijing selepas itu dicetuskan lagi oleh pelbagai isu termasuk belon pengintip China yang ditembak jatuh di ruang udara negara Uncle Sam itu.
Pertemuan antara bekas Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dengan pengganti Pelosi, Kevin McCarthy pada tahun lalu dan bantuan tentera AS untuk pulau itu juga meningkatkan ketegangan antara kedua-dua pihak.
China juga berang melihat hubungan pertahanan AS dengan yang semakin erat di Asia-Pasifik, khususnya dengan Filipina, menyebabkan ia kerap menempatkan kapal perang dan jet pejuang di Selat Taiwan serta Laut China Selatan.
Dalam pada itu, menyentuh tentang pertikaian di Laut China Selatan serta konfrontasi terbaharu dengan kapal Filipina, Dong memberi amaran bahawa ‘kesabaran’ Beijing ada batasnya.
“China telah ‘menahan diri’ dengan secukupnya dalam menghadapi pencerobohan dan provokasi, tetapi terdapat had untuk ini,” katanya.
Filipina dan AS adalah sekutu perjanjian yang telah lama wujud, manakala Manila merupakan tumpuan utama usaha Washington untuk mengukuhkan pakatan dan perkongsian di rantau Asia-Pasifik, yang telah menimbulkan kemarahan Beijing.
Memandangkan kedudukannya di Laut China Selatan dan berdekatan dengan Taiwan, sokongan Filipina akan menjadi penting bagi AS sekiranya berlaku sebarang konflik.
Tentera AS berkata pada April lalu bahawa ia telah menempatkan sistem peluru berpandu Keupayaan Jarak Pertengahan yang mampu menembak Peluru Berpandu Standard 6 (SM-6) dan Peluru Berpandu Serangan Darat Tomahawk di utara Filipina untuk latihan bersama tahunan.
“Penggunaan peluru berpandu balistik jarak sederhana telah merosakkan keselamatan dan kestabilan serantau dengan teruk.
“Bertindak dengan cara ini akhirnya akan membakar diri sendiri,” kata Dong. – AFP