Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengetepikan permohonan semakan semula perayu Shahril Jaafar untuk menggantikan hukuman mati kepada seumur hidup.
Sebelum ini, Shahril didapati bersalah membunuh seorang gadis yang juga eksekutif pemasaran, Chee Gaik Yap di Sungai Petani, Kedah pada tahun 2006.
Kisah pembunuhan kejam ke atas Gaik Yap yang merupakan siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapat perhatian meluas daripada pihak media kira-kira 18 tahun lalu.
Seorang gadis yang ketika itu berusia 25 tahun menjadi anak harapan keluarga ‘diculik’ berhampiran Kelab Cinta Sayang, Taman Ria Jaya, Sungai Petani sebelum diseksa dan dibunuh.
Membaca fakta kes itu sudah cukup membuatkan kita marah, geram dan sedih mengenangkan perbuatan tertuduh yang langsung tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa.
Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 Mei lalu menyifatkan kes pembunuhan yang menimpa Gaik Yap adalah luar biasa dengan fakta yang luar biasa.
Mahkamah memaklumkan Gaik Yap menghadapi keganasan yang luar biasa di tangan Shahril yang mana gadis tersebut diculik, diliwat, dirogol sebelum dibunuh oleh individu sama.
Pakar patologi menemukan 50 luka pada Gaik Yap termasuk bahagian sulit di mana DNA Shahril dikesan.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel di dalam semak berhampiran trek joging sembilan jam selepas dia dilaporkan hilang.
Kes ini mengambil masa yang panjang selama 18 tahun apabila tertuduh utama, Shahril hanya ditangkap pada 2012 enam tahun selepas kejadian bunuh tersebut.
Anak ahli perniagaan bergelar Datuk itu melarikan diri ke Australia selama tiga tahun bagi mengelakkan siasatan, namun dia akhirnya berjaya diberkas sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 2012.
Biarpun sudah enam tahun berlalu, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes bunuh Gaik Yap tidak pernah terhenti sehingga Shahril didakwa. Benarlah kata pepatah pelanduk selalu lupa jerat, tetapi jerat tidak pernah lupa pelanduk.
Rakyat Malaysia juga mengharapkan pengakhiran yang sama dalam kes pembunuhan lain yang masih belum menemui noktahnya termasuk kes Nurin Jazlin yang mana mayatnya ditemukan dalam beg sukan pada 2007 dan terbaharu, Zayn Rayyan, 6, pada tahun lalu.
Kes yang menimpa Zayn yang juga kanak-kanak autistik turut mendapat liputan meluas. Kanak-kanak itu hilang pada 5 Disember lalu dan mayatnya ditemukan di anak sungai sehari kemudian.
Biarpun sudah enam bulan berlaku dan setakat ini tiada sebarang pertuduhan dibuat, namun kita percaya sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara terperinci. Semoga kematian adik Zayn Rayyan terbela dan mereka yang disyaki diheret ke muka pengadilan. Cepat atau lambat. Wallahuaklam.