fbpx

Anak sulung Suhana tak henti panggil papa, mama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qaisara Damia menangis selepas jenazah kedua ibu bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KOTA BHARU – “Papa, mama,” itu perkataan yang tidak henti-henti disebut oleh Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, semasa melihat jenazah ibu bapanya yang maut dalam nahas di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Gua Musang semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong di sini hari ini.

Tindakan Qaisara Damia yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu mengundang sebak seluruh ahli keluarga, sanak saudara dan hadirin yang hadir ke upacara pengebumian di tanah perkuburan itu.

Jenazah Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Terdahulu, jenazah Ridwan yang juga anggota tentera di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas dan isterinya dibawa dari Unit Forensik Hospital Gua Musang ke rumah mereka di Kampung Tunjong di sini.

Kedua-dua jenazah itu terus dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 8.50 pagi.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang anggota tentera dan isterinya yang mengandung anak kembar maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok longkang dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing.

Ridwan yang memandu kereta jenis Kia Rio dan isterinya, Suhana, seorang suri rumah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang, Qaisara Damia, 15, dan Akid Darwisy, 9, luka pada bahagian kaki dan mulut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI