NEW DELHI – Seramai 642 juta rakyat India keluar mengundi dalam pilihan raya umum selama enam minggu yang baru berakhir, kata ketua pesuruhjaya pilihan raya, Rajiv Kumar kepada pemberita hari ini dengan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka menang untuk penggal ketiga.
“Kita (India) mencipta rekod dunia dengan mencapai 642 juta pengundi keluar mengundi dalam detik bersejarah buat kita semua,” kata Rajiv sambil menambah, hampir separuh daripada mereka atau kira-kira 312 juta pengundi ialah wanita.
Berdasarkan maklumat suruhanjaya berkenaan yang mendaftarkan seramai 968 juta pengundi, sejumlah 66.3 peratus pemilih telah keluar mengundi, kurang sedikit berbanding pilihan raya lalu pada 2019.
Proses pengundian fasa ketujuh dan terakhir selesai kelmarin, manakala proses mengira kertas undi dijangka dilakukan esok.
Tinjauan pendapat pengundi menunjukkan Modi dalam laluan untuk mencapai kemenangan dengan beliau menyuarakan keyakinan rakyat India dalam jumlah paling ramai memilih semula kerajaan pimpinannya. – AFP