KUANTAN – Sekitar 100,000 pengunjung hadir memeriahkan Hari Terbuka Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang diadakan di Pangkalan Udara Kuantan, di sini semalam.
Pengunjung mula memenuhi pekarangan seawal pukul 7.30 pagi bagi menyaksikan 29 gerai pameran dan 14 pameran aset.
Pengunjung juga turut disajikan dengan pertunjukan udara melibatkan 23 aset udara termasuk pesawat Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat C-130H dan helikopter EC 725 AP selain pertunjukan payung terjun oleh 15 anggota PASKAU serta enam aset bantuan darat.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan untuk berangkat ke Majlis Hari Terbuka TUDM yang ke-66 yang bertemakan Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara.
Keberangkatan Tengku Hassanal disambut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Antara objektif penganjuran hari terbuka berkenaan adalah bagi mempertontonkan dan mempromosi peranan, tugas serta tanggungjawab TUDM.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan aset-aset tempur serta bantuan dan dokongan TUDM, di samping memperkenalkan elemen kebajikan dan khidmat sosial TUDM.