KUALA TERENGGANU – Ramai ibu bapa begitu teruja menghantar anak masing-masing ke sekolah tahfiz, baik di institusi pembelajaran swasta mahupun sekolah pondok bagi mempelajari dan menghafaz al-Quran sekali gus bergelar hafiz atau hafizah.
Terdapat pelbagai pandangan terhadap institusi tersebut, ada sesetengahnya tercalar dengan imej negatif apabila sebilangan kecil individu menyalahgunakan sekolah tahfiz untuk kebaikan atau keuntungan diri sendiri.
Model pembelajaran sekolah tahfiz yang dibangunkan oleh Pengerusi Eksekutif Akademi Al Quran Amalillah (Akmal), Hussin Ismail pada tahun 2018 sedikit berbeza, ia kini menjadi sebuah institusi pendidikan untuk menghafaz al-Quran tempoh setahun sahaja.
Dibantu oleh sembilan orang anaknya yang telah menghafaz al-Quran sejak kecil, semuanya memegang jawatan tersendiri di pelbagai peringkat pengurusan syarikat menjadikannya sebuah akademi yang unik sehingga berjaya memartabatkan sekolah tahfiz dengan nilai tertinggi dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akmal, Mohd. Saifullah Hussin, 42, yang berhijrah ke Pakistan ketika berumur lapan tahun untuk menghafaz al-Quran, Akmal dengan lapan cawangan di lokasi strategik seluruh negara kini memiliki lebih daripada 500 pelajar.
Jelasnya, pelajar Akmal yang berusia dari 10 hingga 16 tahun menjalani proses pembelajaran berbeza dengan konsep Speed Tahfiz Program.
Ia menggabungkan sistem hafalan dan motivasi harian, malah menganggap semua pelajarnya sebagai pejuang yang digelar sebagai mujahid dan mujahidah.
“Menghafaz al-Quran bukan satu perkara mudah, ia perlukan nilai, tenaga dan fokus yang sangat hebat selain semangat juang untuk menghafaz lebih awal iaitu dalam tempoh hanya dua atau tiga bulan, berbanding sasaran yang kami tetapkan iaitu dalam tempoh setahun.
“Ini semua memerlukan sokongan yang kuat daripada pelajar, para guru iaitu murabbi dan murabbiah serta galakan ibu bapa.
“Syarat kelayakan kemasukan ke Akmal ialah boleh membaca al-Quran dan memiliki minat mendalam tanpa dipaksa oleh ibu bapa. Pemohon akan menjalani satu temuduga khusus bagi mengetahui tahap keikhlasan mereka sama ada dipaksa atau sukarela, serta mempunyai impian untuk menghafaz Al Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Haflah Takrimiah Akmal kali kelima yang disempurnakan oleh Mantan Timbalan Kesatuan Ulama Islam Dunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Taman Tamadun Islam, di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Mohd. Saifullah berkata, keluarganya memang sudah sekian lama memiliki perancangan untuk membuka pusat tahfiz, namun untuk mencari kelainan, beliau kembali ke Pakistan pada 2015 untuk berjumpa dengan gurunya yang banyak membantu dalam menghafaz al-Quran ketika kecil.
Katanya, Dr. Mohammad Iqbal Khan telah mengambil masa tiga tahun untuk mengkaji tentang kemampuan pelajar tahfiz yang menghafaz al-Quran dalam tempoh hanya setahun.
“Berdasarkan kajian tersebut, perlu ada konsep agresif, semangat luar biasa dan motivasi untuk membentuk pelajar menghafaz al-Quran dengan cepat, jadi saya bawa konsep tersebut untuk diguna pakai di Akmal.
“Pada tahun pertama, kami ada sekitar 20 pelajar dan pada tahun kedua ia bertambah kepada lebih 100 pelajar, sebelum Akmal menjadi tular hasil liputan media daripada majlis konvokesyen kami yang dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu ketika itu.
“Selepas mendapat tumpuan pasaran, kami menerima lonjakan pertambahan pelajar dan dari situ mula timbul cabaran dalam pengurusan sumber manusia serta komunikasi.
“Kami gagal menguruskannya dengan baik ketika itu sehingga timbul masalah pekerja berhenti beramai-ramai,” jelasnya.
Bermula dari situ, usahawan tersebut menyertai kumpulan Richworks untuk mempelajari pelbagai aspek pengurusan perniagaan sehingga mampu menjadikan Akmal sebuah akademi pembelajaran profesional dengan pelbagai perancangan menarik untuk dijayakan pada masa depan.
“Saya masih berguru dengan Richworks dan mencari ilmu-ilmu baharu untuk memantapkan lagi institusi ini sehingga kini,” jelas anak kelahiran Bukit Payung itu.
Mohd. Saifullah menerangkan, antara cabaran yang dihadapi adalah berdepan stigma masyarakat berhubung yuran yang tinggi.
Berbanding sekolah tahfiz swasta lain, Akmal mengenakan yuran RM1,200 sebulan, namun jelas beliau, pelajarnya hanya akan berada di institusi berkenaan antara tiga dan 12 bulan mengikut kemampuan hafalan.
Selepas itu, pelajar boleh menyambung pelajaran di sekolah masing-masing.
Tambah beliau, Akmal turut menerima banyak permintaan untuk membuka program ‘Fast Track SPM’ bagi meneruskan kelangsungan nilai pembelajaran, semangat dan motivasi alumni pelajar untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Jelasnya, syarikat bakal merealisasikan cadangan tersebut sebaik sahaja bangunan di ibu pejabat siap sepenuhnya untuk membuka kelas.