MELAKA – Zoo Melaka diserbu lebih 4,000 pengunjung sempena program Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife yang menawarkan tiket kemasukan serendah RM10 seorang, malam tadi.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati para pengunjung mula membanjiri kaunter tiket seawal pukul 6.30 petang meskipun pembelian dibuka pada pukul 8 malam.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sebanyak 500 tiket habis terjual dalam tempoh 30 minit selepas kaunter dibuka.
“Pada pukul 9.30 malam sebanyak 1,400 tiket telah terjual. Kita juga ada menyediakan 16 buah tram dan buggy kepada pengunjung sepanjang berada di zoo.
“Berikutan kehadiran di luar jangka, pihak Zoo Melaka terpaksa membuka pintu masuk tepat pukul 9.40 malam iaitu 20 minit lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Zoo Melaka di sini, malam tadi.
Tambahnya, kebanyakan pengunjung yang datang adalah dari luar Melaka termasuk dari Selangor dan Johor.
Mengulas lanjut Rais berkata, program Bila Larut Malam itu merupakan cetusan idea Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan ia mendapat sambutan menggalakkan yang bukan melibatkan promosi di Zoo Melaka tetapi di beberapa lokasi lain.
“Promosi membeli empat tiket dan percuma satu tiket antara tarikan yang sememangnya dinanti-nantikan pengunjung.
“Saya rasa bersyukur dan berharap program sebulan sekali ini dapat memangkin lagi industri pelancongan di negeri ini serta mengamit lebih ramai pengunjung dan pelancong agar dapat mencapai sasaran 16 juta orang melawat Melaka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.