KLANG – Pembuangan cat dikesan sebagai punca aliran air di Sungai Kandis di sini bertukar warna biru semalam.
Pengesanan aliran warna air tersebut dilakukan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, pasukan mereka segera ke lokasi dan menjalankan siasatan bagi menjejaki punca aliran air berwarna biru sebelum menemukan punca di kawasan perindustrian Jalan Omboh di sini.
“Semakan mendapati lopak air di kawasan itu berwarna biru dan memasuki longkang berhampiran dan seterusnya mengalir ke Sungai Kandis.
“LUAS melakukan pensampelan kualiti air dan sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LUAS menegaskan siasatan dibuat mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air.
Tambah LUAS, pihaknya turut berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Bandaraya Shah Alam bagi tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing.-KOSMO!ONLINE.